TDM Bhd bina dua loji biogas

KEMAMAN: TDM Bhd, anak syarikat kerajaan Terengganu akan membangunkan dua projek loji biogas di Kemaman dan Sungai Tong, berkonsepkan teknologi hijau.

Projek bernilai RM38 juta yang menggunakan sistem ‘covered lagoon’ itu dijangkakan bermula pada September tahun ini dan siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohamat Muda, berkata projek berkenaan adalah inisiatif di bawah program Tranformasi TDM baharu yang akan dilaksanakan oleh syarikat Concord Renewable Energy Sdn Bhd yang berpengalaman luas dalam bidang biogas.

“Projek ini menggunakan konsep ‘boot’ iaitu bina, operasi dan pindah, yang ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

“Loji biogas mengutamakan teknologi hijau dalam memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan dan juga membantu mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang kelapa sawit yang sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya pada majlis perasmian kilang bio-organik, rumah pekerja dan taklimat projek biogas di Pelantoh, Kemaman yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Mamat Puteh dan Pengerusi TDM Berhad, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Mohamat berkata setiap loji bio gas akan menghasilkan dua megawatt (MW) elektrik untuk disalurkan ke grid Tenaga Nasional (TNB) dengan anggaran janaan pendapatan TDM berjumlah RM28 juta selama 16 tahun.

Selain itu, menurut Mohamat pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tujuan penyelidikan teknologi mikrob untuk mengurangkan pembelian bahan tersebut dari pasaran luar.

“TDM Berhad mempunyai kilang pertama bio-organik automasi sepenuh di Semenanjung Malaysia. Kilang itu menggunakan teknologi penghasilan mikrob secara dalaman dan kedua selepas kilang baja organik di Sungai Tong.

“Kita sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UPM untuk tempoh lima tahun bagi membangunkan teknologi ini dengan UPM akan berusaha memastikan projek ini mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berpuas hati terhadap perkembangan TDM Bhd yang terus berkembang maju dan merangka pelbagai pelan perniagaan.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu syarikat berkaitan kerajaan Terengganu menyumbang dalam meningkatkan ekonomi negeri.

“Saya amat berbangga kerana TDM tersenarai antara 1,500 syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.

“Saya meletakkan prinsip Al- Qawwy dan Al-Amin menjadi teras kepada pengupayaan dan pembangunan sumber manusia atau modal insan kumpulan TDM,” katanya – BERNAMA

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/07/449987/tdm-bhd-bina-dua-loji-biogas

%d bloggers like this: